Malam Pertama Di Alam Kubur
Saya menulis tajuk ini selepas membaca tulisan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni bertajuk "Malam Pertama Di Alam Kubur". Memang menakutkan. Moga tulisan ini dapat menjadi tazkirah kepada diri ini yang selalu leka dan alpa. Sama-samalah kita mengambil ikhtibar, agar sentiasa bersemangat meningkatkan amal ibadah dan menjauhi maksiat serta larangan Allah s.w.t.
Dr 'Aidh Al-Qarni mengingatkan kita terdapat dua malam yang berlainan yang sentiasa dibayangkan oleh setiap muslim.
Malam pertama adalah malam di mana seseorang itu berada di rumahnya bersama anak-anak dan isterinya dalam keadaan bahagia, bergurau senda, dan riang ketawa bersama. Hidup sempurna sihat dan sejahtera
Malam kedua adalah malam di dalam kubur bersendirian tanpa keluarga, tanpa teman, tanpa ketawa riang anak dan isteri. Malam yang sunyi, menakutkan dan amat berbeza dengan malam yang pertama.
Ahhh.....takutnya bila memikirkan malam kedua ini. Dapatkah kita hidup senang hati bila memikirkan keadaan malam pertama kita yang sunyi di dalam kubur? Dapatkah kita membazirkan masa kita dengan sia-sia bila memikirkan ketakutan malam pertama di dalam kubur? Masih senangkah lagi kita memikirkan benda-benda "lagha" apatah lagi maksiat bila memikirkan kegelapan di dalam kubur di malam pertama?
Dr 'Aidh Al-Qarni mengatakan malam pertama di dalam kubur adalah malam di mana para ulama' menangis, para pemimpin mengadu, dan para penyair meratap. Malam itu adalah malam kita ditempatkan seorang diri dalam sebuah lubang tanpa teman, isteri, anak-anak. Hanya amal sendiri sebagai teman di kesunyian dan kegelapan kubur.
Ya Allah Ya Tuhanku, berilah aku hidayahMu, berilah aku kekuatan, bantulah aku, pimpinlah aku supaya sentiasa dapat mengingatiMu, supaya dapatku layarkan bahtera hidupku agar sentiasa berada dalam landasan ibadah kepadaMu, supaya lidahku sentiasa lembut mengungkap kata istighfar kepadaMu, supaya hatiku sentiasa rindu mengingat dan meneroka mukjizat ayat-ayatMu, supaya seluruh masaku bukan masa yang merugikanku (bukan masa yang tidak menambahkan keimananku, bukan masa yang tidak dalam ibadah kepadaMu, bukan masa yang berlalu tanpa usaha mengingatkan diri sendiri dan orang lain agar menjiwai kebenaran dan kesabaran. Demi kebahagiaanku di malam pertamaku di dalam kuburku.
Sentiasalah sama-sama kita ingat bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Liang kubur boleh menjadi salah satu taman dari taman-taman syurga, atau salah satu lubang dari lubang-lubang neraka"
Dr 'Aidh memberi tazkirah lagi kepada kita:
"Aku sarankan pada diriku dan pada kamu semua, wahai kaum muslimin, siapkanlah cahaya untuk malam pertamamu di dalam liang kubur!"
"Demi Allah! Tidak ada yang akan menerangi kita di alam liang kubur, kecuali keimanan dan perbuatan baik kita."
"Dengan kebaikan itulah kita akan mendapat teman yang akan menemani kita di dalam liang kubur pada malam terputusnya komunikasi kita dengan keluarga, harta, anak, dan sahabat kita."
Comments